Friday, February 29, 2008

Sejuk, sejuk, sejuk...

Dah lama saya tak menulis di sini. Kalau blog ni diibaratkan sebuah rumah yang ditinggalkan tuan, mungkin dah naik bersawang gamaknya. Bukannya apa, kadang-kadang bila idea menjelma, masa pula tidak begitu mengizinkan. Jawatan yang dipegang sebagai surirumah ni pada mata kasarnya kelihatan tidaklah seberat mana, tapi pada hakikatnya saya sering dihambat dengan bermacam-macam kerja yang perlu dilangsaikan. Ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang memerlukan perhatian yang bukan sedikit itu.

Cuaca di luar ketika ini juga amat tidak memberansangkan. Di sini sejuk, di sana sejuk. Sungguh sesuai kalau dapat menarik selimut. Namun, salji yang ditunggu-tunggu saban hari itu, nampaknya begitu payah nak turun! Kami di London begitu cemburu dengan mereka yang tinggal di Scotland, mereka mewah dengan salji tahun ini. Teringat saya sewaktu kami pulang ke Malaysia bulan Oktober lepas. Kak Siti, pengasuh Farah semasa kami di Sri Rampai, menyangkakan Farah dapat bermain salji ketika di musim sejuk, tapi hakikatnya...bak kata orang sekarang ni...hampehhhh

Bila bercerita tentang salji, terkenang saya semasa kami mungunjungi Switzerland Disember lepas. Di kawasan pergunungan, saljinya sungguh tebal dan halus sekali. Pemandangannya sungguh mengasyikkan, umpama syurga dunia. Di sana, rata-rata penduduknya mahir bermain ski hatta anak-anak di sekolah pun diajar bermain ski sebagai aktiviti ko-kurikulum mereka. Di setiap stesen keretapi pasti kelihatan mereka yang mengusung peralatan ski menuju ke kawasan pergunungan. Sungguh kagum saya melihat mereka ke sana ke mari dengan pakaian dan kasut khas untuk bermain ski itu. Sungguh futuristik! Alangkah bagusnya kalau saya mahir bermain ski seperti mereka. Hahahaaha...

Entah bilalah suasana sejuk ini akan berakhir. Anak-anak pun dah naik bosan bermain di dalam rumah sahaja. Kalau bermain di luar, waktunya perlu dihadkan. Kalau sakan bermain dalam cuaca sejuk ni, alamat berhinguslah nanti. Sabar je lah ya...