Thursday, December 13, 2007
Adikku Mamat
"Mamat, besar nanti nak jadi apa?"
"Mamat nak jadi ustaz"
"Alhamdulillah, baguslah tu"
Namanya Muhammad Farhan. Saya kira kelahirannya cukup menambah keceriaan mak dan abah yang sudah lama tidak beranak kecil. Bayangkan pada tahun 1996 itu, usia saya sudah menjangkau 22 tahun tapi masih punya adik kecil yang sering saya dukung seolah-olah anak sendiri. Pada ketika itu saya berasa sungguh hairan mengapa mak dan abah saya masih mahukan anak sedangkan kami yang seramai tujuh orang itu pun sudah cukup untuk memeningkan kepala mereka. Barangkali mereka masih berharapkan seorang lagi anak lelaki kerana antara kami yang ramai itu, hanya adik saya yang ke empat sahaja yang lelaki. Dia sering digelar "Pak Unggal" kerana ketunggalannya dalam keluarga kami hinggalah Mamat dilahirkan, gelaran itu secara automatik telah hilang sendirinya.
Ketika mak mengandungkan Mamat usianya telah menjangkau 45 tahun tapi dek kerana mak seorang wanita yang cergas bekerja, saya langsung tidak terkesankan tentang kehamilannya sehingga salah seorang ibu saudara di kampung memberitahu saya. Oleh kerana dia hamil dalam usia yang agak lanjut, dia sering dileteri jururawat-jururawat yang bertugas di kelinik wanita mengandung yang dikunjunginya saban bulan-bulan kehamilannya.
"Kak ni kenapalah nak mengandung lagi, anak dah ada tujuh orang, umur pun dah empat puluh lebih".
Mak saya hanya mendiamkan diri.
"Kami ni bukannya nak menghalang akak beranak lagi, kami cuma risaukan kesihatan akak sebab bila umur dah lanjut ni, macam-macam risikonya".
Mak saya masih tidak bersuara. Dalam hatinya dia hanya berdoa agar segalanya selamat seperti pengalaman yang dilaluinya sebelum ini. Memang mak seorang ibu yang dikurniakan Allah kemudahan setiap kali dia melahirkan. Empat daripada adik-beradik saya hanya dilahirkan di rumah Opah termasuklah diri saya sendiri. Memang sekitar tahun 70-an dulu ibu-ibu mengandung tidak diwajibkan bersalin di hospital. Memadai dengan kehadiran seorang bidan kerajaan dan bidan kampung.
Semasa mak mengandungkan Mamat, abah begitu mengambil-berat akan kesihatan mak. Buat pertama kali, abah membawa mak ke sebuah klinik swasta di Sitiawan untuk menjalani pemeriksaan ultrasound di sana. Apabila kandungan mak sudah mencecah lapan bulan, mak seperti biasa pergi ke klinik ibu-ibu mengandung untuk pemeriksaan bulanan. Kali ini tekanan darah mak didapati naik dengan mendadak dan mak terus dihantar ke hospital Changkat Melintang dengan ambulans. Pihak hospital mendapati mak perlu ditahan di wad kerana dikhuatiri tekanan darahnya yang tinggi itu akan memudaratkan dirinya dan bayi yang dikandungnya. Mujurlah ketika itu saya sedang dalam cuti semester yang panjang. Dapatlah saya membantu abah yang ketika itu menjadi pengusaha kantin sebuah sekolah vokasional di Sri Iskandar. Setelah beberapa hari mak berehat di wad, tekanan darah mak masih belum turun-turun lagi. Entah apalah yang dirunsingkannya sehingga para jururawat dan doktor di hospital amat risau dengan situasinya itu. Bimbang sesuatu yang lebih buruk terjadi, pihak hospital mengambil keputusan untuk menghantar mak ke hospital Ipoh untuk mendapatkan rawatan doktor yang lebih pakar. Sekali lagi mak diusung ke ambulans.
Di hospital Ipoh, tahap kesihatan mak begitu diambil berat sehingga ke bilik air pun tidak dibenarkan berseorangan. Mereka bimbang mak akan pitam dek kerana tekanan darahnya yang sangat tinggi itu. Mak juga diletakkan di bilik yang berhawa dingin dengan harapan tekanan darahnya akan turun dalam persekitaran yang agak sejuk itu. Namun segala usaha menemui kegagalan. Setelah beberapa hari mak di Hospital Ipoh, akhirnya para doktor mengambil keputusan supaya mak bersalin secara "induce labour". Itu sahaja pilihan yang ada untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk daripada berlaku. Semasa mak melahirkan Mamat abah sedang sibuk dengan urusannya di kantin sekolah itu. Tidak lama selepas mak bersalin, abah telah mendapat satu panggilan telefon daripada Pak Su yang tinggal di Ipoh. Sebelum ini Pak Su lah yang sering melawat mak kerana tempat kerjanya yang hampir dengan hospital. Sebaik sahaja mendapat panggilan telefon tersebut, maka bergegaslah kami anak-beranak menyiapkan kelengkapan untuk adik yang baru dilahirkan itu. Mujurlah segala barang-barang keperluan bayi telah disediakan dari awal.
Sesampainya di Hospital Ipoh, kami terus mendapatkan mak yang sedang berehat di dalam wad. Mak kelihatan ceria setelah segala kerisauan dan kebosanannya tinggal di hospital akan berakhir tidak lama lagi. Adik yang baru dilahirkan itu kelihatan sihat tapi fizikalnya agak kecil sedikit. Beratnya cuma 2.25kg. Jauh bezanya dengan tujuh orang anak-anak yang mak lahirkan sebelum ini. Namun, yang paling istimewa, adik yang baru lahir itu, lelaki. Akhirnya doa mak dan abah untuk mendapatkan seorang lagi anak lelaki dimakbulkan Allah. Kami sepakat meletakkan namanya Muhammad Farhan. Farhan itu bermaksud kegembiraan. Semoga dia sentiasa membawa kegembiraan dalam hidup kami sekeluarga. Awal-awalnya kami memanggilnya Muhammad. Tapi, lama kelamaan nama tersebut bertukar menjadi Mamat. Paling melucukan, setiap kali abah mendukung Mamat, orang menyangkakan dia mendukung cucunya! Hahaha...
Kini, Mamat sudah berusia hampir 12 tahun. Terasa begitu pantas masa berlalu. Memang Mamat sering mengisi kesunyian Mak dan Abah apabila kami adik-beradik yang lain telah berkahwin, melanjutkan pelajaran ke universiti dan masing-masing membawa arah tuju sendiri. Mamatlah yang sering menemani abah mengisi waktu lapang dengan hobi memancingnya itu. Kami sekeluarga sentiasa berharap agar Mamat juga akan berjaya dalam hidupnya di masa depan. Insyaallah.
Wednesday, December 12, 2007
Suatu Petang yang Celaka
Setiap kali terpandangkan bas dua tingkat berwarna merah itu, hati saya sering terkenangkan peristiwa yang saya anggap agak kelat semasa saya berada di bumi orang putih ini. Saya kira waktu itu musim bunga baru menjengukkan wajahnya setelah sekian lama digigit musim sejuk yang teramat itu. Ketika itu kami baru beberapa bulan menjalani kehidupan baru di tempat orang ini. Kami masih belum punya kereta untuk ke mana-mana. Hanya pengangkutan awam yang sering membawa kami ke sana-sini. Pun begitu, tidaklah saya rasa amat terbeban kerana perkhidmatan bas yang kerap dan kelonggaran yang diberikan kepada individu yang punya anak kecil.
Suatu petang, seperti kebiasaanya saya menjemput anak yang pertama dari sekolahnya yang terletak lebih kurang 25 minit perjalanan menaiki bas. Perjalanan pergi dan balik tidaklah membosankan kerana saya asyik melihat seni bangunan zaman Victoria yang sering saya kagumi. Sungguh indah sekali. Tambahan pula bas tersebut melalui suatu kawasan membeli-belah yang terkenal di sini iaitu Knightsbridge dengan Harrods sebagai mercu tandanya. Saban hari saya memerhati apa sahaja yang dipamerkan di kaca luar gedung tersebut. Kata orang, barang-barang di sini mahal-mahal belaka. Pun begitu, tidak pernah terdetik di hati saya untuk singgah melihat-lihat apa yang ada dalam gedung ternama itu kerana asyik memikirkan apa yang handak dimasak untuk makan malam sesampainya saya di rumah nanti.
Ketika berada dalam bas dua tingkat itu, jika nasib kami anak-beranak baik, dapatlah kami duduk melunjurkan kaki yang lenguh setelah sebatu berjalan kaki sebelum itu. Seringkali juga kami terpaksa berdiri jika bas penuh dengan penumpang. Tak sampai hati melihat orang tua yang terbongkok-bongkok, tempat duduk saya korbankan dan berikan kepada insan yang lebih memerlukan (tunjuk baik le konon..) Anak yang ke dua saya letakkan di dalam "pushchair" (di Malaysia lebih dikenali sebagai stroller) kerana bas di sini mempunyai ruang untuk meletakkan "pushchair" tersebut. Seringkali dia tertidur semasa dalam perjalanan pulang ke rumah setelah kekenyangan sebotol susu formula.
Tiba di sebuah perhentian bas, bas berhenti agak lama. Tidaklah saya hiraukan mengapa kerana saya sudah merasa tidak selesa dengan keadaan bas yang semakin sesak dengan penumpang itu. Tiba-tiba terdengar satu isyarat bunyi yang menandakan ada penumpang berkerusi roda mahu menaiki bas itu. "Alamak! macamana ni...dah lah bas ni penuh, ada kerusi roda nak naik pulak...anak aku tengah tidur ni, macamana aku nak lipat pushchair ni". Bila pintu bas dibuka, naiklah seorang lelaki berbangsa Arab dengan kerusi rodanya. Penumpang-penumpang yang bersesak itu seolah-olah tidak mahu memberikan ruang kepada lelaki berkerusi roda itu. Tiba-tiba pemandu bas bersuara. Sayup-sayup sahaja kedengaran di telinga saya,
"Madam, could you please fold your pushchair".
Hati saya berkata,"isshh...dia suruh aku lipat pushchair ni...mana boleh, anak aku tengah tidur". Lelaki berkerusi roda itu memberikan isyarat tangan yang saya tidak perlu berbuat demikian kerana masih ada ruang untuk kerusi rodanya itu. Sekali lagi pemandu bas itu bersuara menyuruh saya melipat pushchair tersebut. Dengan hati yang sedikit panas saya bersuara,
"I can't do it, my child is sleeping. I'm so sorry!"
Bas masih lagi tidak bergerak. Apa pulak halnya kali ini. Rupa-rupanya pemandu bas itu enggan menggerakkan basnya selagi saya tidak berbuat seperti apa yang disuruhnya. Penumpang-penumpang lain sudah mula bising. Ada seorang penumpang bersuara "it's ok now, you can move the bus". Dalam hati saya menyumpah-nyumpah pemandu bas itu. "Celaka punya driver bas. Konon nak ikut sangat dia punya polisi tu. Tengoklah tempat dan keadaannya! Pemandu bas itu masih mengomel-ngomel seorang diri. Entah apa yang dikatakanyya pun saya kurang dengar. Bimbang menjadi kemarahan orang lain, saya pun membawa anak-anak saya keluar dari bas celaka itu! Rupanya di luar, hujan dan bila saya lihat keliling tiada tempat berteduh. " Dengan hati yang bengkak, saya bernekad untuk berjalan kaki sahaja tanpa menunggu bas yang lain datang. Bimbang kejadian serupa berulang lagi. Tambahan pula baki perjalanan tidaklah sejauh mana. Kasihan anak-anak saya. Habis basah ditimpa hujan. Mujur hujan di sini tidaklah selebat seperti di Malaysia. Sepanjang perjalanan itu, anak saya yang sulung asyik bertanya kenapa kami turun dari bas dan berjalan kaki pula. Ini semua pemandu bas bodoh itu punya pasal!
Malam itu, sepulangnya suami saya ke rumah, anak saya yang sulung terus memberitahu abahnya peristiwa yang terjadi petang itu.
"Abah, tadi ummi kena halau"
Saya menyambung "ha ah, kena turun dari bas, ada kerusi roda naik, driver bas tak nak bergerak kalau ummi tak lipat pushchair"
"Mesti driver bas tu bukan Mat Saleh"
"Ha ah, keling mana entah, kerek betul!"
Semenjak kejadian itu berlaku, setiap kali kedengaran isyarat kerusi roda di dalam bas, hati saya bagai disiat-siat rasanya. Geram, marah, sakit hati, semuanya bercampur-baur. Tapi kini, saya tidak lagi dikejar igauan ngeri itu lagi kerana saya memandu kereta kami untuk menjemput anak sulung saya itu dari sekolahnya. Puh! lega rasanya...
Monday, December 10, 2007
Catatan Musim Sejuk
Jangan ditanya mengapa saya memilih "Seorang Ummi di Bumi Penjajah" sebagai tajuk blog ini. Entah kenapa, tiba-tiba saya teringat sebuah novel yang pernah saya baca semasa masih di sekolah rendah dulu iaitu "Seorang Tua di kaki Gunung" yang menjadi bacaan wajib matapelajaran sastera di sekolah menengah pada ketika itu. Kerapkali saya meminjam novel tersebut yang dipunyai Mak Tam, ibu saudara saya, adik kepada emak saya. Cerita tentang seorang tua yang gigih untuk mendirikan sebuah rumah dengan titik-peluhnya sendiri itu sungguh mengasyikkan, sehingga kadangkala saya berasa terlalu malas untuk mengulangkaji buku pelajaran sendiri. Tambahan pula pada waktu itu saya berada dalam darjah enam, telah selesai peperiksaan penilaian darjah lima pada tahun sebelumnya. Jadi, tahun itu merupakan tahun "honeymoon" bagi saya. Buku-buku di perpustakaan sekolah rendah tempat saya belajar tidak lagi menepati citarasa saya yang sudah muak dengan cerita-cerita dongeng rakyat, cerita puteri dengan katak dan yang seangkatan dengannya.
Itu cerita dua puluh tahun yang lampau. Ketika itu usia saya masih muda belia lagi. Masih bermain seremban, konda-kondi dan lompat getah dengan kawan-kawan sebaya. Kini, saya sudah punya anak tiga. Sudah tentu jugalah saya sudah bersuami. Anak-anak saya memanggil saya ummi, pangilan yang bermaksud "ibuku" kalau dalam bahasa Arab. Suami saya pula dipanggil abah. Walaubagaimanapun semenjak anak pertama kami bersekolah di bumi UK ini, dia lebih betah memanggil saya "mummy" dan abahnya "daddy". Namun kami tetap membahasakan diri kami abah dan ummi. Anak yang ke dua yang belum lancar percakapannya itu pula memanggil saya sesedap mulutnya, kadangkala ummi, mummy, mum dan juga mama. Anak yang ke tiga, masih berumur lapan bulan, masih belum pandai berkata-kata lagi. Yang dia tahu, menangis bila laparkan susu cap gantung! Di ketika saya sedang menaip catatan ini pun, dia sedang enak menyusu sambil matanya terpejam. Emm..lemak berkrim susu ummi ni!
Kini, sudah masuk tahun ke tiga kami bermastautin di bumi penjajah ini. Sudah lali dengan cuaca dingin yang sering menemani ke mana sahaja kami pergi. Kalau dahulu, mendengar sahaja nama kota London, sudah terbayangkan Tower Bridge, Big Ben, House of Parliament dan Queen Elizabeth serta kerabat-kerabatnya. Tapi kini, itu semua telah tidak saya hairankan lagi. Saya boleh ke sana bila-bila masa yang saya mahu, pilih sahaja sama ada mahu menaiki bas dua tingkat atau keretapi bawah tanah yang dipanggil underground atau "tube" di sini. Paling membosankan apabila tiba musim sejuk di sini terpaksa berpakaian berlapis-lapis dan kadangkala sarung tangan pun perlu dikenakan. Kan enak kalau macam di Malaysia, selapis baju dan cuma perlu pakai sandal sahaja sudah bisa berlenggang-lenggang kangkung ke mana-mana. Namun, saya selalu mengingatkan diri saya, di mana-mana pun kita berada, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita alami dan miliki. Bukan semua orang beroleh nasib baik dapat menjejakkan kaki di negara orang putih ini dan merasai pahit-manis tinggal di kelilingi manusia yang berbeza warna kulit dan bahasanya.
Di luar, suasana telah gelap-gelita. Padahal ketika ini jam menunjukkan baru pukul 4.30 petang. Petang ke, malam? Yang mana satu ni? Begitulah suasananya bila di musim sejuk. Malam lebih panjang dari siang. Ah, kalau di Malaysia, ketika ini mungkin saya sedang membuai anak-anak di padang permainan di hadapan rumah kami. Hmmm..Malaysia lagi. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya asyik teringatkan tanahair yang dicintai. Teringatkan mak, abah dan adik-beradik yang sering dirindui bila kebosanan memanjat di hati ini. Tapi, apakan daya saya. Kalau UK ni dekat macam dari KL ke Perak, dah lama saya pecut ke sana. Mintak-mintak, jadilah mak dan abah datang ke sini tahun depan. Insyaallah, kalau niat kita baik, akan dikabulkan...
Subscribe to:
Posts (Atom)