Wednesday, December 12, 2007

Suatu Petang yang Celaka



Setiap kali terpandangkan bas dua tingkat berwarna merah itu, hati saya sering terkenangkan peristiwa yang saya anggap agak kelat semasa saya berada di bumi orang putih ini. Saya kira waktu itu musim bunga baru menjengukkan wajahnya setelah sekian lama digigit musim sejuk yang teramat itu. Ketika itu kami baru beberapa bulan menjalani kehidupan baru di tempat orang ini. Kami masih belum punya kereta untuk ke mana-mana. Hanya pengangkutan awam yang sering membawa kami ke sana-sini. Pun begitu, tidaklah saya rasa amat terbeban kerana perkhidmatan bas yang kerap dan kelonggaran yang diberikan kepada individu yang punya anak kecil.

Suatu petang, seperti kebiasaanya saya menjemput anak yang pertama dari sekolahnya yang terletak lebih kurang 25 minit perjalanan menaiki bas. Perjalanan pergi dan balik tidaklah membosankan kerana saya asyik melihat seni bangunan zaman Victoria yang sering saya kagumi. Sungguh indah sekali. Tambahan pula bas tersebut melalui suatu kawasan membeli-belah yang terkenal di sini iaitu Knightsbridge dengan Harrods sebagai mercu tandanya. Saban hari saya memerhati apa sahaja yang dipamerkan di kaca luar gedung tersebut. Kata orang, barang-barang di sini mahal-mahal belaka. Pun begitu, tidak pernah terdetik di hati saya untuk singgah melihat-lihat apa yang ada dalam gedung ternama itu kerana asyik memikirkan apa yang handak dimasak untuk makan malam sesampainya saya di rumah nanti.

Ketika berada dalam bas dua tingkat itu, jika nasib kami anak-beranak baik, dapatlah kami duduk melunjurkan kaki yang lenguh setelah sebatu berjalan kaki sebelum itu. Seringkali juga kami terpaksa berdiri jika bas penuh dengan penumpang. Tak sampai hati melihat orang tua yang terbongkok-bongkok, tempat duduk saya korbankan dan berikan kepada insan yang lebih memerlukan (tunjuk baik le konon..) Anak yang ke dua saya letakkan di dalam "pushchair" (di Malaysia lebih dikenali sebagai stroller) kerana bas di sini mempunyai ruang untuk meletakkan "pushchair" tersebut. Seringkali dia tertidur semasa dalam perjalanan pulang ke rumah setelah kekenyangan sebotol susu formula.

Tiba di sebuah perhentian bas, bas berhenti agak lama. Tidaklah saya hiraukan mengapa kerana saya sudah merasa tidak selesa dengan keadaan bas yang semakin sesak dengan penumpang itu. Tiba-tiba terdengar satu isyarat bunyi yang menandakan ada penumpang berkerusi roda mahu menaiki bas itu. "Alamak! macamana ni...dah lah bas ni penuh, ada kerusi roda nak naik pulak...anak aku tengah tidur ni, macamana aku nak lipat pushchair ni". Bila pintu bas dibuka, naiklah seorang lelaki berbangsa Arab dengan kerusi rodanya. Penumpang-penumpang yang bersesak itu seolah-olah tidak mahu memberikan ruang kepada lelaki berkerusi roda itu. Tiba-tiba pemandu bas bersuara. Sayup-sayup sahaja kedengaran di telinga saya,

"Madam, could you please fold your pushchair".

Hati saya berkata,"isshh...dia suruh aku lipat pushchair ni...mana boleh, anak aku tengah tidur". Lelaki berkerusi roda itu memberikan isyarat tangan yang saya tidak perlu berbuat demikian kerana masih ada ruang untuk kerusi rodanya itu. Sekali lagi pemandu bas itu bersuara menyuruh saya melipat pushchair tersebut. Dengan hati yang sedikit panas saya bersuara,

"I can't do it, my child is sleeping. I'm so sorry!"

Bas masih lagi tidak bergerak. Apa pulak halnya kali ini. Rupa-rupanya pemandu bas itu enggan menggerakkan basnya selagi saya tidak berbuat seperti apa yang disuruhnya. Penumpang-penumpang lain sudah mula bising. Ada seorang penumpang bersuara "it's ok now, you can move the bus". Dalam hati saya menyumpah-nyumpah pemandu bas itu. "Celaka punya driver bas. Konon nak ikut sangat dia punya polisi tu. Tengoklah tempat dan keadaannya! Pemandu bas itu masih mengomel-ngomel seorang diri. Entah apa yang dikatakanyya pun saya kurang dengar. Bimbang menjadi kemarahan orang lain, saya pun membawa anak-anak saya keluar dari bas celaka itu! Rupanya di luar, hujan dan bila saya lihat keliling tiada tempat berteduh. " Dengan hati yang bengkak, saya bernekad untuk berjalan kaki sahaja tanpa menunggu bas yang lain datang. Bimbang kejadian serupa berulang lagi. Tambahan pula baki perjalanan tidaklah sejauh mana. Kasihan anak-anak saya. Habis basah ditimpa hujan. Mujur hujan di sini tidaklah selebat seperti di Malaysia. Sepanjang perjalanan itu, anak saya yang sulung asyik bertanya kenapa kami turun dari bas dan berjalan kaki pula. Ini semua pemandu bas bodoh itu punya pasal!

Malam itu, sepulangnya suami saya ke rumah, anak saya yang sulung terus memberitahu abahnya peristiwa yang terjadi petang itu.

"Abah, tadi ummi kena halau"
Saya menyambung "ha ah, kena turun dari bas, ada kerusi roda naik, driver bas tak nak bergerak kalau ummi tak lipat pushchair"
"Mesti driver bas tu bukan Mat Saleh"
"Ha ah, keling mana entah, kerek betul!"

Semenjak kejadian itu berlaku, setiap kali kedengaran isyarat kerusi roda di dalam bas, hati saya bagai disiat-siat rasanya. Geram, marah, sakit hati, semuanya bercampur-baur. Tapi kini, saya tidak lagi dikejar igauan ngeri itu lagi kerana saya memandu kereta kami untuk menjemput anak sulung saya itu dari sekolahnya. Puh! lega rasanya...

1 comment:

indera kencana said...

Salam untuk Sue, Shahrul, Farah, Fahmi & Fasha,

Lain padang lain belalang
Lain tempat, lain orangnya

Banyak udang banyaklah garamnya
Banyak orang banyaklah ragamnya

Satu pengalaman, sungguhpun pahit tidak mampu dibeli di mana-mana. Kata orang tua-tua, anak-anak adalah permata hati. Ibu atau Ayah pasti akan berbuat apa sahaja demi kesejahteraan anak-anak. Namun sering terjadi pertembungan antara kasih sayang dengan mereka yang tidak tahu keutamaan di antara peraturan dengan kemanusiaan.

Sabar banyak-banyak Sue. Yang pasti kenangan buruk itu tidak akan berlaku lagi. Insya-Allah.

Teruskan menulis dan berkarya. Teruskan selagi masa mmengizinkan. Seperti pesanan yang selalu saya titipkan pada Azam;
"Jangan jemu mengirimkan khabar berita dari sana. Bagi kami di sini, besar nilainya.."