Friday, January 11, 2008

Cikgu Ton Datang!

"Tup, tap, tup, tap, tup, tap" kedengaran bunyi derapan sepasang kasut tumit tinggi. Sayup-sayup ia datang dari hujung bangunan kelas dua tingkat itu. Satu bunyi yang bisa membuatkan jantung kami berdegup pantas setiap kali mendengarnya. Bunyi yang mampu membuatkan seluruh tubuh kami seram sejuk. Siapakah pemiliknya? Siapa lagi, kalau bukan...."Oi korang, Cikgu Ton datang, Cikgu Ton datang. Korang dah siap ke kerja yang dia suruh buat tu". Maka legalah bagi sesiapa yang telah berjaya menyiapkannya. Bagi yang culas, maka tunggulah.....

"Girls! have you all done your homework?" Cikgu Ton bersuara dengan nada yang tegas sekali. "Yes, teacher" kami menjawab beramai-ramai. "Ok, now, let's read the exercises given to you yesterday". Rupa-rupanya dalam ramai-ramai kami di dalam kelas itu, ada jiwa-jiwa yang begitu tegar sekali untuk tidak menyudahkan kerja rumah yang Cikgu Ton berikan semalam. Maka berdirilah kami seorang demi seorang membaca jawapan kepada latihan yang dibuat. Cikgu Ton tidak akan marah kalau jawapan yang diberikan salah, tapi jangan cuba-cuba berpura-pura membaca jawapan dari buku latihan yang kosong! Cikgu Ton pasti dapat mengesannya! Entah apa malangnya, beberapa orang teman sekelas telah tidak bernasib baik pada hari itu. Mereka fikir mereka boleh terlepas seperti hari-hari sebelumnya, tapi pada hari itu...sepandai-pandai tupai melompat...."Get out from this class!!!!" Suara tengkingan Cikgu Ton melantun dari bibirnya yang bergincu merah itu. Beberapa buah buku latihan Bahasa Inggeris turut melayang ke luar kelas mengiringi tuan-tuan empunya! Terkebil-kebil mata kami yang lain memandangnya. Dalam hati saya berkata"nasib baik aku bersengkang mata menyiapkannya malam tadi. Kalau tidak...isshh malu, malu"

Cerita tentang Cikgu Ton yang garang itu memang tidak asing lagi di kalangan kami. Bagi kami pelajar-pelajar tingkatan satu yang masih mentah pada ketika itu, garangnya Cikgu Ton bukan boleh dibuat main. Melihat kelibatnya dari jauh lagi kami seboleh-bolehnya cuba membelok ke arah lain. Takut sangat bertembung dengan Cikgu Ton. Bagi pelajar-pelajar senior, mereka sudah boleh menarik nafas lega kerana Cikgu Ton hanya mengajar tingkatan satu sahaja. Bagi mereka, episod ngeri itu telah berlalu dalam hidup mereka.

Cikgu Ton itu, orangnya pandai bergaya walaupun usianya hampir menjangkau separuh abad. Pakaiannya sentiasa kemas dan bersih. Dia sering mengenakan baju kurung moden yang warnanya pasti dipadankan dengan tudung, beg tangan dan kasut tumit tingginya itu. Orangnya cantik, berwajah kacukan Melayu-Arab. Namun, kegarangannya itu seringkali membuatkan kami anak muridnya ini tidak terpandangkan kejelitaannya itu. Cikgu Ton mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Sejarah. Walaupun dia hanya berkelulusan Institut Bahasa, bakatnya mengajar memang tidak dapat disangkal. Saya kira, dengan ketegasannya itulah kami bersungguh-sungguh memperbaiki kelemahan kami dalam Bahasa Inggeris. Maklumlah, rata-rata kami yang berjaya ke sekolah agama berasrama di bandar Ipoh itu datangnya dari kampung. Pencapaian Bahasa Inggeris kami pada ketika itu memang agak lemah jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang berasal dari sekolah bandar. Tidak cukup dengan kelas di waktu sesi pagi, Cikgu Ton berusaha memantapkan lagi dengan kelas tambahan di waktu petang. Kadang-kadang kalau angin Cikgu Ton tengah memuncak, kelas tambahan itu diadakan dua kali dalam seminggu. Naik berpinar mata kami menyalin nota di papan hitam. Itu belum lagi nak memahami segala bentuk "grammar" dengan "past, present and future tense, present continuous tense, adjective and adverb, preposition, gerund" dan segala macam tok-nenek bahasa antarabangsa itu. Satu kegemaran Cikgu Ton yang amat saya kagumi, dia menulis nota-nota tersebut dengan tulisan sambung yang cantik dan siap menggunakan kapur tulis yang berwarna-warni untuk meng"highlight"kan bahagian-bahagian yang penting dalam nota-nota tersebut.

Pernah satu hari, Cikgu Ton bercadang mengadakan kelas tambahan pada petang Khamis iaitu waktu pelajar-pelajar dibenarkan keluar ke bandar Ipoh untuk membeli barang keperluan. Semua pelajar dikehendaki hadir dan sesiapa yang telah mendapat kebenaran keluar pekan, mesti membatalkan niat mereka itu! Namun, beberapa rakan sekelas bercadang untuk meneruskan niat mereka itu seolah-olah memandang ringan kepentingan kelas tambahan Cikgu Ton. Apa lagi, sebelum mereka berjaya memboloskan diri mereka, Cikgu Ton telah bertanya seorang demi seorang tentang apa pentingnya mereka keluar ke pekan pada hari itu. Salah seorang rakan kami memberikan alasan "Saya nak beli pakaian dalam cikgu". Tanpa mengira malu yang bakal diterima oleh rakan kami itu, Cikgu Ton bertanya kembali "Kenapa, pakaian dalam kamu semua dah "loose" ke, dah tak boleh pakai ke semuanya?" Aduh, malunya, naik merah padam rakan kami itu dengan serangan balas dari Cikgu Ton itu. Maka, terbatallah sudah niat mereka semua dengan kuasa veto Cikgu Ton. Sejak peristiwa itu, tiada siapa lagi yang berani untuk melepaskan diri daripada kelas tambahan Cikgu Ton. Tak kira petang atau malam, hari biasa atau hari minggu, bila sahaja yang Cikgu Ton rasakan sesuai, kelas tambahan tersebut pasti dilaksanakan!

Memori bersama Cikgu Ton akan saya kenang sampai bila-bila. Dialah yang telah berjaya membakar semangat saya untuk memajukan diri menguasai bahasa penjajah itu. Daripada seorang murid kampung yang jarang-jarang mengusik buku-buku Bahasa Inggeris di perpustakaan, saya telah berjaya menghabiskan novel Jane Eyre yang ditulis oleh Charlotte Bronte yang terkenal itu. Walaupun banyak perkataan yang tidak saya ketahui maknanya ketika itu, saya berusaha menjadikan kamus sebagai teman setia saya. Sungguh besar jasa Cikgu Ton pada diri saya. Semoga Allah sahaja yang dapat membalas segala titik-peluhnya mendidik kami di asrama yang saya huni selama tujuh tahun itu. Mungkin kini, Cikgu Ton sedang menghabiskan waktu persaraannya di samping keluarganya. Entah di mana, saya tidak pasti. Hanya satu doa saya, semoga Allah memberkati hidup Puan Zaiton binti Ahmad. Amin...

4 comments:

asr said...

Tu dia, berpinor mate teman membace kisah Cik Ton, hahaa... buleh teman linkkan blog deme ni? Lagi satu, tak payoh ler nak ber encik encik, bukan tak keney pon...

indera kencana said...

Saya, saya..??
Dengan saya takde nak ber encik encik jugek ke..??

Tingat jugak kat Cikgu Muazzah. Teringat kat Cikgu Zahidi. Satu Bote orang kenei dia. Takut betul masa dia cakap
"Indera, calon gagal matematik 1991" sebab saya tidur dalam kelas dia..

Alhamdullillah lepas jugak paper tu walaupun cukup makan..

Su Rahim said...

Asr, silakan...tapi, segan pulak rasanya..heheh

Indera, sebenarnya ada beberapa orang cikgu yg garang bebeno masa tu. Deme tu semuanya kelulusan Institut Bahasa, tapi deme ngajor memang power!!

azlina said...

Lps ni apa kata do ur writing in english...baru ada variasi...ok tak cikgu?! :)