Wednesday, April 9, 2008

Corat-coret.

Hari ini matahari bersinar cerah. Alhamdulillah, setelah sekian lama dibelenggu musim dingin, cuaca pada hari ini menjanjikan sesuatu yang lebih ceria dan selesa. Mudah-mudahan untuk tahun ini musim bunga benar-benar telah kembali lagi. Harap-harap janganlah cuma acah-acah sahaja seperti yang berlaku di kota London dan beberapa tempat di UK pada pagi sabtu minggu lepas. Salji turun dalam bulan April. Habis bunga-bunga yang sedang berkembangan ditimpa salji yang memutih. Well, that's what we call "british weather". Really unpredictable. Buat pertama kalinya pada musim sejuk kali ini salji turun dengan lebatnya di kota London. Di tempat lain, jangan ceritalah. Cuma kami di London ini yang masih jakun dengan salji.

Bercakap tentang cuaca, kalau di Malaysia ramai yang endah tak endah dengan ramalan cuaca. Betul tak? Tapi di sini, ramalan cuaca begitu penting sekali. Bukan setakat untuk esok hari, malahan ramalan cuaca untuk seminggu turut disiarkan. Dalam satu hari, entah berapa kali ramalan cuaca ini disiarkan. Kadang-kadang naik jemu dibuatnya. Hari ini, sudah pasti ramai yang bersantai di taman-taman yang terdapat sekitar London, Hyde Park terutamanya. Teringat saya semasa kami tinggal di Edgware Road yang berhampiran dengan Hyde Park. Tiap kali cuaca cerah, kami turut mengambil kesempatan menikmati panasnya matahari. Namun ianya seringkali dicemari dengan pemandangan yang kurang enak dilihat. Inilah masanya bagi wanita-wanita yang kurang perasaan malunya berbaring, terlentang, meniarap dengan pakaian yang terdedah di sana-sini. Kononnya supaya kulit mereka menjadi lebih "tan". Bagi mereka kulit yang "tan" lebih "cool" jika dibandingkan dengan kulit yang putih melepak. Berbeza dengan di negara kita, ramai ibu mertua yang kalau boleh mahukan menantu perempuan yang putih melepak walaupun anak lelakinya sendiri berkulit hitam macam punggung kuali! Sebenarnya, mengikut kajian sains, kulit yang pigmentasinya tinggi lebih tahan lasak daripada kulit yang pigmentasinya rendah. Orang yang berkulit cerah lebih cenderung untuk mendapat sakit kulit daripada orang yang berkulit gelap. Dulu arwah opah saya sering memujuk kami cucu-cucunya yang berkulit "coklat" ini dengan kata-kata "tak mengapa kulit hitam...kata orang tua-tua, hitam-hitam punggung kuali digantung orang di dinding rumah. Putih-putih hampas kelapa dihumban orang ke tanah juga". Aha! Betul jugak kata opah tu. Sambungannya opah, "hitamlah-hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis"..hehehehhe, terima kasih opah!

Bercerita tentang kulit hitam, saya perhatikan di sini kelihatan agak ramai yang memilih pasangan yang berlainan kulitnya. Telah menjadi satu fenomena yang biasa, orang putih berkahwin dengan orang hitam. Mungkin faktor cinta yang mendalam menjadikan mereka tidak menghiraukan apa pandangan orang sekeliling. Bagi pasangan ini, lazimnya anak yang dilahirkan berkulit sedikit cerah daripada ibu atau bapanya yang berkulit hitam dan berambut agak keriting. Bagi saya, mungkin faktor agama yang sama turut membantu kepada perkahwinan dua warna ini. Kalau di negara kita, perkahwinan dua bangsa yang berbeza menjadi sedikit sukar kerana perbezaan agama yang ketara.

Apa-apa pun, apa jua warna kulit dan bangsa kita, semuanya sama di sisi Allah subhanahuataala. Yang membezakan kita hanyalah iman yang tertanam dalam diri kita. Segala kecantikan akan luntur dimamah usia. Segala kekayaan akan kita tinggalkan bila kita meninggal dunia. Hanya Allah jua yang bersifat kekal selamanya.

2 comments:

asr said...

Aik, ingatkan kat sini pun dah penuh salji, rupan2ya dah bersih dah... ahahahahaaa...

Hitam itu menawan.

Su Rahim said...

Salji kat blog lagi satu. Sikit lagi publish le kot.