Monday, December 10, 2007

Catatan Musim Sejuk














Jangan ditanya mengapa saya memilih "Seorang Ummi di Bumi Penjajah" sebagai tajuk blog ini. Entah kenapa, tiba-tiba saya teringat sebuah novel yang pernah saya baca semasa masih di sekolah rendah dulu iaitu "Seorang Tua di kaki Gunung" yang menjadi bacaan wajib matapelajaran sastera di sekolah menengah pada ketika itu. Kerapkali saya meminjam novel tersebut yang dipunyai Mak Tam, ibu saudara saya, adik kepada emak saya. Cerita tentang seorang tua yang gigih untuk mendirikan sebuah rumah dengan titik-peluhnya sendiri itu sungguh mengasyikkan, sehingga kadangkala saya berasa terlalu malas untuk mengulangkaji buku pelajaran sendiri. Tambahan pula pada waktu itu saya berada dalam darjah enam, telah selesai peperiksaan penilaian darjah lima pada tahun sebelumnya. Jadi, tahun itu merupakan tahun "honeymoon" bagi saya. Buku-buku di perpustakaan sekolah rendah tempat saya belajar tidak lagi menepati citarasa saya yang sudah muak dengan cerita-cerita dongeng rakyat, cerita puteri dengan katak dan yang seangkatan dengannya.


Itu cerita dua puluh tahun yang lampau. Ketika itu usia saya masih muda belia lagi. Masih bermain seremban, konda-kondi dan lompat getah dengan kawan-kawan sebaya. Kini, saya sudah punya anak tiga. Sudah tentu jugalah saya sudah bersuami. Anak-anak saya memanggil saya ummi, pangilan yang bermaksud "ibuku" kalau dalam bahasa Arab. Suami saya pula dipanggil abah. Walaubagaimanapun semenjak anak pertama kami bersekolah di bumi UK ini, dia lebih betah memanggil saya "mummy" dan abahnya "daddy". Namun kami tetap membahasakan diri kami abah dan ummi. Anak yang ke dua yang belum lancar percakapannya itu pula memanggil saya sesedap mulutnya, kadangkala ummi, mummy, mum dan juga mama. Anak yang ke tiga, masih berumur lapan bulan, masih belum pandai berkata-kata lagi. Yang dia tahu, menangis bila laparkan susu cap gantung! Di ketika saya sedang menaip catatan ini pun, dia sedang enak menyusu sambil matanya terpejam. Emm..lemak berkrim susu ummi ni!

Kini, sudah masuk tahun ke tiga kami bermastautin di bumi penjajah ini. Sudah lali dengan cuaca dingin yang sering menemani ke mana sahaja kami pergi. Kalau dahulu, mendengar sahaja nama kota London, sudah terbayangkan Tower Bridge, Big Ben, House of Parliament dan Queen Elizabeth serta kerabat-kerabatnya. Tapi kini, itu semua telah tidak saya hairankan lagi. Saya boleh ke sana bila-bila masa yang saya mahu, pilih sahaja sama ada mahu menaiki bas dua tingkat atau keretapi bawah tanah yang dipanggil underground atau "tube" di sini. Paling membosankan apabila tiba musim sejuk di sini terpaksa berpakaian berlapis-lapis dan kadangkala sarung tangan pun perlu dikenakan. Kan enak kalau macam di Malaysia, selapis baju dan cuma perlu pakai sandal sahaja sudah bisa berlenggang-lenggang kangkung ke mana-mana. Namun, saya selalu mengingatkan diri saya, di mana-mana pun kita berada, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita alami dan miliki. Bukan semua orang beroleh nasib baik dapat menjejakkan kaki di negara orang putih ini dan merasai pahit-manis tinggal di kelilingi manusia yang berbeza warna kulit dan bahasanya.

Di luar, suasana telah gelap-gelita. Padahal ketika ini jam menunjukkan baru pukul 4.30 petang. Petang ke, malam? Yang mana satu ni? Begitulah suasananya bila di musim sejuk. Malam lebih panjang dari siang. Ah, kalau di Malaysia, ketika ini mungkin saya sedang membuai anak-anak di padang permainan di hadapan rumah kami. Hmmm..Malaysia lagi. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya asyik teringatkan tanahair yang dicintai. Teringatkan mak, abah dan adik-beradik yang sering dirindui bila kebosanan memanjat di hati ini. Tapi, apakan daya saya. Kalau UK ni dekat macam dari KL ke Perak, dah lama saya pecut ke sana. Mintak-mintak, jadilah mak dan abah datang ke sini tahun depan. Insyaallah, kalau niat kita baik, akan dikabulkan...

3 comments:

asr said...

Sapa ya ummi di bumi penjajah ni? Macam kenaaaaal jer... hehehe...

indera kencana said...

Salam untuk Sue...
Haiyya.. engkau tak kenal ke, Azam?

Membaca tulisan Sue, sangat mengasyikan dengan buaian irama rindu pada tanahair. Mungkin juga rindu itu dapat diubati dengan melihat telatah anak-anak dan juga suami. Begitulah rindu Sang Perantau. Sekuat mana pun hanya dapat dipujuk sendiri sahaja (Azam?? Azam lain. Dia brutal sket. Bab2 rindu ni, tak makna pada dia.. Hehehehehe.. aku melawak je Zam. Jangan marah ye!!)

Gaya penulisan Sue sangat tinggi. Mudah difahami. Membawa pembaca pada emosi yang dikendong. Teruskan menulis. Saya menyokong untuk karya Sue yang berterusan. Salam untuk Mozak dan anak-anak Sue.

Su Rahim said...

1. Asr, alah, buat2 tak kenal pulak..

2. W'salam Indera, thanks for the comment. Bertambah semangat saya nak menulis.